PAS hormat keputusan Umno Kelantan untuk putus hubungan

PAS Kelantan menghormati keputusan Umno negeri yang memilih untuk memutuskan hubungan antara kedua-dua parti itu.

Pesuruhjaya PAS Kelantan Ahmad Yakob berkata, walaupun pihaknya meminta agar keputusan itu ditangguhkan sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15), namun keputusan yang diambil itu adalah isu dalaman Umno Kelantan.

“Kita tak boleh buat apa-apa sebab itu (urusan) dalaman Umno. Kita ada perbincangan semalam dengan biro politik Umno Kelantan yang berlangsung secara mesra dan memahami hasrat pihak Umno untuk putuskan hubungan kerana mereka tidak boleh terima Bersatu.

“Kita mohon perkara ini jangan diputuskan, melihat keadaan semasa sangat baik yang mana masyarakat dan akar umbi hubungan kita dengan Umno begitu baik.

ADS

“Kita tak boleh buat apa-apa itu pendirian Umno, pendirian kita masih lagi duduk bersama dalam Muafakat Nasional (MN). Tetapi kita hormat pendirian Umno,” katanya.

Ahmad yang juga menteri besar Kelantan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) Sempena Sambutan Dua Dekad Penubuhan, di Kota Bharu, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Umno Kelantan mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PAS Kelantan.

Pengerusinya, Ahmad Jazlan Yaakub berkata keputusan itu diambil memandangkan PAS Kelantan bersama Bersatu dan Umno Kelantan sama sekali tidak dapat bekerjasama dengan parti serpihannya itu.

Sementara itu Ahmad berkata, pihaknya bagaimanapun tetap berharap hubungan baik antara PAS dan Umno Kelantan dapat diteruskan termasuk ketika PRU15.

“Kita harap masih ada ruang-ruang untuk kita bekerjasama dalam PRU15 kerana hasrat kita untuk mengelak pertandingan tiga penjuru.

“Kita terima keputusan Umno, tetapi dalam usaha-usaha perpaduan Melayu-Islam kita teruskan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *