Kerajaan Kelantan telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Jun lepas. Sudah tentu pilihan negeri di Kelantan memberikan kita satu peristiwa yang menarik, memandangkan politik Kelantan kaya dengan sejarahnya. Ramai yang melihat PAS akan menang besar di Kelantan pada pilihan raya negeri yang akan datang – cuma, ada juga yang berpandangan gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan mampu melemahkan pengaruh PAS di sana.
Selepas Menteri Besar mengadap Sultan Kelantan bagi memohon perkenan pembubaran DUN mengikut Fasal 2 Perkara 46 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan bahawa Sultan boleh membubarkan DUN, Kelantan telah masuk ke fasa menghadapi PRN.
Kami percaya kerajaan negeri Kelantan telah menghantar notis pembubaran DUN mereka kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut untuk diproses dalam tempoh 60 hari.
Kelantan antara enam negeri yang akan adakan PRN termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu. Kelantan mempunyai 45 kawasan DUN yang menyaksikan perebutan antara PAS dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lalu, PAS menang 37 kerusi sekali gus mengekalkan tampuk pentadbiran negeri sejak tahun 1990.
UMNO Kelantan merayu supaya penyokong PAS memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN) demi memastikan harapan Timbalan Menteri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, untuk menyapu bersih 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tak jadi kenyataan.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, berkata perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan UMNO dapat memikul tugas semak dan imbang di negeri ini yang ditadbir oleh PAS.
“Sepatutnya penyokong PAS undi BN untuk tugas semak dan imbang atas kegagalan kerajaan PAS mentadbir Kelantan selama lebih 30 tahun. Ia juga bagi memudahkan UMNO untuk menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan negeri termasuk hal kebajikan dan pembangunan,” – Datuk Zawawi dalam satu kenyataan
Datuk Zawawi turut menambah bahawa pembangunan di Kelantan tak stabil walaupun PAS mentadbir Kelantan lebih 30 tahun lalu. Kadar pengangguran di Kelantan yang tinggi menyebabkan ramai anak muda berhijrah ke negeri lain yang menawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik. Selain itu, masalah sosial termasuk dadah juga membimbangkan yang membabitkan golongan muda.
Demokrasi akar umbi di Kelantan memiliki cabaran
Demokrasi ‘akar umbi’ adalah tonggak penting dalam masyarakat yang maju; terutamanya dalam aspek rakyat secara aktif terlibat dalam proses pengambilan keputusan yang membentuk kehidupan mereka. Di Kelantan, demokrasi akar umbi menghadapi cabaran, terutamanya dalam aspek membina kerangka masyarakat yang terlibat secara aktif dalam pembuatan keputusan di peringkat dasar-dasar negeri.
Kelantan terkenal dengan warisan budaya dan agamanya yang kuat. Cabaran utama yang sering diperhatikan dalam konteks demokrasi adalah bagaimana praktis demokrasi moden perlu melalui jalur agama dan budaya yang kuat. Sesekali ada elemen dalam demokrasi moden yang dilihat berada di luar norma masyarakat Kelantan.
Misalnya dalam aspek mengkritik pemimpin yang kebanyakan pemimpin PAS dalah pemimpin yang berlatarkan pengajian agama. Aspek demokrasi moden membolehkan sesiapa sahaja dikritik untuk tujuan membaiki hal yang kurang baik. Malangnya dalam elemen keagamaan, ada yang boleh tersilap sangka – kritikan sebagai penghinaan kepada ulama atau orang alim.
Di samping itu, masalah ekonomi juga menjadi hal yang penting untuk dibincangkan kerana secara tak langsung ia berkaitan dengan persoalan demokrasi akar umbi. Kelantan antara negeri di Malaysia yang mengalami masalah kemiskinan dan jurang ekonomi yang melebar. Sebab itu kebanyakan orang di Kelantan perlu keluar berhijrah sekiranya mereka ingin mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih besar dengan kadar gaji yang lebih baik.
Dari satu aspek, keadaan ‘sukar’ ini memboleh masyarakat untuk lebih vokal kepada wakil-wakil rakyat mereka, supaya keadaan ini berubah. Malangnya, walaupun rakyat Kelantan vokal mengkritik aspek pembangunan di negeri mereka, wakil-wakil rakyat masih lagi tidak mampu menjawab persoalan-persoalan rakyat dengan lebih baik.
Akhir sekali adalah aspek pendidikan demokrasi yang penting, tetapi malangnya masih kurang di Kelantan. Apa jua yang kita lakukan akan menjadi lebih baik sekiranya disertai oleh pendidikan yang baik. Topik demokrasi bukanlah topik yang mesra di hati rakyat Kelantan. Akibatnya, apa jua perbincangan berkaitan demokrasi akan dilihat janggal atau bersifat politik yang ingin menjatuh kerajaan sedia ada. Keadaan ini perlu berubah sekiranya Kelantan inginkan demokrasi yang lebih sihat dan terbuka di sana.
Pada akhirnya keputusan di tangan rakyat Kelantan
Setiap tempat memiliki cabaran mereka yang tersendiri apabila kita berbincang tentang topik demokrasi – khususnya melibatkan negeri yang memiliki nilai keagamaan dan kebudayaan yang tebal. Cabaran-cabaran yang kami sebutkan ini bukanlah alasan untuk Kelantan dipinggirkan. Seharusnya lebih banyak perbincangan terbuka dilaksanakan di Kelantan supaya rakyat di sana boleh melihat dan melakukan perbandingan. Pada akhirnya semua keputusan harus dipulangkan ke tangan rakyat Kelantan sendiri, merekalah yang berhak untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka.