Wang Tunai RM45,000 ‘lesap’ didakwa diambil oleh anggota polis

Kota Bharu: Kehilangan wang tunai RM45,000 yang didakwa diambil oleh seorang pegawai dan dua anggota polis ketika serbuan di sebuah rumah di Pasir Kelang Baru, Kuala Krai pada 27 Julai lalu sehingga kini masih menjadi tanda tanya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sehingga kini isu kehilangan wang tunai itu masih menjadi keraguan.

Katanya, pihak polis sudah mengambil keterangan pegawai dan anggota polis yang didakwa mengambil wang berkenaan selain pengadu serta anaknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

“Hasil keterangan yang diambil, pengadu mendakwa wang terbabit sudah lama diletakkan dalam almari berkenaan dan anak lelaki pengadu turut mendakwa ada mengambil duit berkenaan memandangkan terdapat kunci pendua bagi almari berkenaan.

“Sehingga kini, pihak polis hanya merampas RM4,500 sebagaimana yang didakwa pegawai dan dua anggota berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, sehingga kini siasatan masih dijalankan sama ada wang terbabit sudah digunakan anak pengadu atau diambil oleh pegawai dan anggota polis terbabit.

“Kita akan mengambil keterangan saksi lain bagi melengkapkan siasatan dan pegawai serta dua anggota terbabit kini masih dalam pemantauan. Siasatan tatatertib juga akan dilakukan dan menunggu arahan selanjutnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pegawai dan dua anggota polis ditahan susulan laporan polis diterima mendakwa berlaku kehilangan wang tunai sebanyak RM45,000 ketika serbuan di sebuah rumah di Pasir Kelang Baru, Kuala Krai, 27 Julai lalu.

Kesemua mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai ditahan kira-kira 9 malam di daerah berkenaan iaitu dua hari selepas serbuan dilakukan.

Sumber: Harian Metro 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *