TIGA perkara Nik Amar cakap sehingga orang garu kepala

Kalau kita bercakap tentang politik Kelantan semasa, kita tidak akan terlepas daripada membicarakan salah seorang pemimpin politik paling popular di Kelantan. Siapa dia? Tak lain dan tak bukan; Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Bulan lepas sahaja dia telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang agak pelik sehingga tular di media sosial.

Masalahnya setiap kali kritikan dilontarkan kepada Nik Amar, ramai penyokongnya yang beranggapan Nik Amar memiliki ‘logik’ sendiri yang sukar difahami oleh orang biasa. Kemudian, tak kurang juga yang mengatakan orang yang mengkritik kelakuan Nik Amar adalah musuh Islam. Kalau ikutkan, kami macam nak tergelak je dengar komen-komen macam ini.

Setiap pemimpin politik sepatutnya boleh dikritik tanpa mengira apa jua parti atau modal yang dia gunakan ketika berkempen.

Nik Amar kata rakyat Kelantan bahagia

Kelantan yang berada di tangga kelima sebagai negeri yang rakyatnya bahagia berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021, membuktikan pentadbiran kerajaan negeri berada pada landasan yang betul.

Menurut Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, walaupun tidak dinafikan ada kelemahan dalam pentadbiran dan isu-isu tertentu, namun secara umumnya rakyat Kelantan merasa gembira tinggal di sini.

“Statistik itu bukan kita yang buat, ia dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia, ada indikator dan rujukan yang ia guna. Dari kajian yang ia buat, kita termasuk salah satu negeri yang bahagia. Maknanya, dari segi kepuasan hati rakyat, walaupun ada isu, ada benda-benda tertentu, ada masalah, tapi secara umumnya, rakyat gembira tinggal di Kelantan.”

Sejauh mana rakyat Kelantan gembira berada di negeri mereka – itu kami serahkan kepada rakyat Kelantan. Kita mungkin melihat rakyat Kelantan tidak gembira di Kelantan kerana kekurangan peluang pekerjaan dan merupakan salah sebuah negeri termiskin di Malaysia. Namun, disebalik semua ini; mungkin rakyat Kelantan hidup dalam keadaan yang gembira.

Indeks skor mencatatkan kebahagiaan di Labuan adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain dengan skor 9.29. Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, MHI itu menunjukkan, selain Labuan, negeri lain yang mencatatkan skor pada tahap bahagia ialah Kuala Lumpur (7.77), Putrajaya (7.28), Terengganu (7.20), Kelantan (7.02), Perlis (6.96), Sarawak dan Johor (6.69), Negeri Sembilan (6.68), Pulau Pinang (6.65), Perak (6.35) dan Sabah (6.28).

Bagaimanapun, katanya, dua negeri mencatatkan skor sederhana bahagia iaitu Melaka dengan 5.85 dan Selangor pada kedudukan terakhir dengan 5.74.

Analisis menunjukkan Labuan mencatatkan purata skor melebihi 9 bagi kesemua 13 komponen termasuk penggunaan masa (9.93), keluarga (9.91), amalan kerohanian (9.83), keselamatan awam (9.74) dan kemudahan komunikasi (9.64).

Orang keluar Kelantan bukan sebab tak ada kerja, tapi tradisi

Penghijrahan rakyat Kelantan terutama anak muda ke negeri luar adalah disebabkan sikap dan tradisi suka berhijrah bukannya kerana tiada pekerjaan di negeri ini. Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, penghijrahan berlaku bukan sahaja di negeri Kelantan bahkan seluruh dunia, dan keadaan itu tidak menggambarkan kegagalan kerajaan negeri dalam menyediakan peluang kerja. Peluang kerja yang disediakan di negeri ini terlalu banyak dan mencukupi namun ada segelintirnya lebih suka bekerja di ibu kota malah bersifat memilih kerja.

Katanya sifat orang Kelantan terutama anak muda memang suka merantau sama ada mencari kerja atau apa sahaja aktiviti, itu tak boleh dinafikan. Keluar dari negeri untuk bekerja bukan berlaku di Kelantan sahaja tapi seluruh dunia dan beberapa bulan lepas, satu kenyataan dari kajian yang dibuat, 500,000 rakyat Malaysia kerja di luar negara jadi nak kait macam mana tu?

Peluang kerja banyak tapi anak Kelantan lebih suka berada di luar (Kelantan), mungkin rasa tak glamor, ada juga yang memilih kerja.

Secara jujur, kami merasakan kebanyakan orang lebih berminat untuk bekerja di kampung halaman masing-masing sekiranya berpeluang. Siapa yang tak mahu kerja berdekatan dengan keluargakan? Barangkali rakyat Kelantan memiliki pilihan yang tersendiri – sesuatu yang mungkin kita tak akan faham.

Tak guna besarkan jalan raya andainya hanya digunakan setahun sekali

Isu kesesakan jalan raya di Kelantan bukanlah sesuatu yang asing, lebih-lebih lagi apabila musim perayaan tiba. Kita dapat melihat betapa sesaknya jalan raya. Beberapa minggu lepas viral di media sosial video berdurasi 0:19 saat memaparkan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjawab persoalan mengenai isu jalan raya di Kelantan.

Dalam video tular itu, Mohd Amar berpandangan masalah ini perlu dihadapi lagi pula ianya setahun sekali sahaja. Lebih menimbulkan perdebatan apabila beliau menyatakan tiada makna besarkan jalan kerana ianya digunakan setahun sekali. Menurut Mohd Amar, rakyat Kelantan perlu menerima hakikat ini – katanya tak ada makna pun besarkan jalan raya kerana digunakan hanya setahun sekali – dia menambah, keluarga lebih bermakna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *