“Kelantan tidak perlukan pawagam, masih boleh tonton dari televisyen” – Mohd Amar

Kota Bharu: Kelantan kekal dengan pendirian tidak membina pawagam berikutan rakyat negeri itu masih boleh mencari hiburan termasuk menonton filem menerusi saluran televisyen berbayar atau platform penstriman.
 
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia berikutan ketiadaan pawagam tidak menjadi isu besar kepada rakyat negeri berkenaan ketika ini.
 
“Setakat ini keputusan kita kekal (tiada pawagam), akan datang kita tak tahu sebab bagi kita tiada halangan untuk berhibur dan melihat filem.
“Ia bukan satu isu yang besar sebab kita (Kelantan) sudah berapa tahun tiada pawagam dan tiada orang protes secara terbuka sebab peluang untuk berhibur masih banyak. Kita tiada pawagam pun, (masih) ada Netflix, Astro Best, macam-macam lagi, berapa puluh ‘channel’ ada jadi peluang untuk berhibur tetap terbuka,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian sambutan Hari Dapur Hijau Peringkat Negeri Kelantan 2022, di sini, hari ini.
 
Ketika ditanya mengenai dirinya yang kerap menjadi mangsa kecaman warganet, Mohd Amar berkata, beliau tidak berdepan masalah kerana apa yang dinyatakannya adalah respons kepada soalan yang dilontarkan.
 
Menurutnya, sebilangan besar warganet tidak memahami konteks dan beliau mengakui dirinya hanya manusia biasa yang tidak terlepas daripada kecaman.
 
“Kadang-kadang masalah netizen saya perhatikan, mereka tidak memahami konteks kita bercakap, mereka tidak tahu latar belakang, tengok tajuk sahaja terus ‘hentam’ dan mereka tidak tahu kita bercakap adalah respons untuk soalan.
 
“Jawapan yang diberikan bergantung kepada soalan. ‘If you gave good question, you have good answer. Tapi kalau you have stupid question, you get stupid answer’.
 
“Saya tiada masalah orang nak kata apa sebab saya tahu diri saya dan bercakap konteks apa. (Arwah) tok guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dulu yang baik pun orang kata macam-macam, (apatah lagi) saya bukan tok guru,” katanya.
 
Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *