Pemimpin kita tak berkualiti? Ini beberapa ciri penting pemimpin

Masalah pemimpin yang berkualiti di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu, kita dapat melihat bagaimana rakyat kita hari ini agak penat dengan keadaan politik yang sedang berlaku. Salah satu sebabnya adalah mereka melihat ahli-ahli politik ini hanya fokus untuk berebut kuasa; akhirnya kebajikan rakyat tak terjaga. Disebabkan masalah ini, salah satu pelajaran terpenting yang perlu diketahui oleh rakyat Malaysia adalah bagaimana untuk mengundi wakil rakyat yang betul. Kami selalu kata, apabila mengundi wakil rakyat, sebenarnya kita sedang memilih siapa yang paling kurang jahat.

Hamka ada menyatakan pemimpin itu bermaksud ‘Memimpin supaya tegak, membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan jatuh! Atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh.

Ayat ini jelas membawa maksud seseorang pemimpin yang dilantik hendaklah memiliki ciri-ciri yang layak dan sesuai untuk dijadikan pemimpin. Seseorang jadi pemimpin hebat bukan semata-mata bergantung kepada keupayaan bermain politik sehingga berjaya naik ke puncak dan menjadi pemimpin. Bukan juga disebabkan faktor ‘siapa anda kenal’.

Sepatutnya pemimpin ada tanggungjawab besar; pemimpin secara langsung dalam urusannya memikul amanah dan tugas berat kepada rakyat yang dipimpinnya. Imam al-Ghazali pernah berpesan: “Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang menghukum dengan penuh keadilan dan berkata dengan penuh kebenaran. Tidak menyakiti hati orang dan jujur sama ada kepada diri sendiri, mahupun kepada orang lain.”

Pemimpin adil tidak akan membelakangkan keadilan semata-mata kerana kebencian terhadap individu, kaum ataupun bangsa. Sebaliknya berurusan dengan rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa, warna kulit, keturunan atau agama. Mereka sentiasa berusaha sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik dan sentiasa berusaha menggembleng tenaga dan sentiasa berpandangan jauh demi kesejahteraan rakyat.

Selain adil dan jujur, kriteria seterusnya ialah mengutamakan kepentingan rakyat berbanding peribadi. Segelintir pemimpin perlu sedar mereka sebenarnya berkhidmat untuk rakyat dan ‘bos’ besar yang sebenar adalah rakyat. Mereka ada tanggungjawab besar untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat sebaik mungkin.

Penting untuk setiap pemimpin memahami dan menjiwai watak pemimpin terdahulu yang berjiwa rakyat. Hanya mereka yang pernah merasai jerih payah dan hidup dalam kesusahan, berupaya memahami suara hati rakyat. Inilah jenis pemimpin yang diperlukan rakyat di mana mereka benar-benar berkhidmat untuk rakyat sepanjang masa.

Salah satu cara untuk melihat calon pemimpin tersebut tidak mempunyai kualiti adalah mereka kerap menggunakan sentimen perkauman dan agama semata-mata. Kami bandingkan macam ini – apabila seseorang itu tidak memiliki idea yang bernas, mereka akan mencari jalan mudah untuk mempengaruhi pengundi. Apa kaedah popular yang paling mudah? Tidak lain tak bukan; bermain isu bangsa dan agama yang akan menerima perhatian ramai orang.

Kemudian, sama juga dengan calon-calon yang selalu memberi janji; tapi sebenarnya tidak pernah melaksanakan apa yang mereka katakan. Rakyat kita selalu kata; janji dicapati. Keadaan ini berlaku kerana ahli politik sebenarnya jarang dipertanggungjawabkan dengan apa yang mereka katakan. Keadaan ini tidak berlaku sekiranya rakyat sentiasa memberi peringatan kepada ahli politik; anda harus ingat – ketakutan utama ahli politik adalah kehilangan kuasa.

Ada beberapa elemen yang anda boleh lihat sebelum melihat siapa calon yang anda nak undi

Elemen pertama ialah keperibadian calon itu sendiri. Ciri-ciri penting dalam kategori ini ialah integriti, tidak mempunyai latar belakang peribadi yang tercalar dan mempunyai akhlak serta contoh teladan kepada anggota masyarakat lainnya. Kemudian, idealisme perjuangan. Setiap calon wakil rakyat memiliki idealisme tersendiri, sebagai pengundi anda harus tahu apa idealisme wakil rakyat yang bakal diundi.

Elemen ketiga adalah kedudukan pemimpin politik itu dalam masyarakat. Rakyat mengharapkan ciri-ciri berikut ada dalam mana-mana pemimpin yang dipilih iaitu dia hendaklah ‘kelihatan’ dalam masyarakat, mempunyai rekod memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan boleh menyuarakan isu-isu rakyat.

Satu lagi aspek yang penting ialah komunikasi. Rakyat mengharapkan pemimpin dalam kalangan yang mampu berkomunikasi misi dan visi dalam bahasa yang difahami oleh rakyat, mampu artikulasi isu dan dapat berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Ada pemimpin yang syok sendiri menggunakan bahasa bombastik bagi menunjukkan tahap intelektualnya.

Terakhir rakyat mengharapkan pemimpin politik berilmu pengetahuan yang luas dalam pelbagai isu dan mempunyai pendidikan yang tinggi. Suatu ketika dulu, pendidikan calon tidak menjadi isu penting. Hari ini, pengundi – terutama yang tinggal di bandar meletakkannya sebagai satu prasyarat pemilihan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *