97,780 liter diesel harga subsidi dirampas polis di Tanah Merah dan Machang

TANAH MERAH: Polis merampas 97,780 liter diesel bernilai RM210,227 melalui dua serbuan berasingan sekitar daerah ini dan Machang awal pagi tadi.

Semua diesel terbabit dirampas selepas dikesan diseleweng sebuah syarikat pembekal bahan api itu di sini, susulan serbuan dilakukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) bersama penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata berdasarkan maklumat, syarikat terbabit dikatakan membeli stok diesel berkenaan pada harga harga subsidi menggunakan lori yang sudah diubahsuai pada tangki, sebelum ia dipindahkan ke tangki statik di kilang utama.

Beliau berkata, diesel terkumpul itu kemudian dijual semula pada harga normal industri kepada pemborong sekali gus mengaut untuk yang besar.

Mengulas serbuan kira-kira jam 2 pagi tadi, katanya, anggota PGA8 bersama KPDNHEP yang menerima maklumat menyerbu syarikat berkenaan sebelum menemui empat lelaki sedang memindahkan diesel menggunakan mesin penyedut daripada lori ke enam tangki simpanan statik.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, seorang daripada mereka melarikan diri, manakala tiga yang lain termasuk seorang warga Bangladesh berusia antara 29 dan 50 tahun ditahan.

“Siasatan kemudian membawa kepada serbuan susulan di sebuah stesen minyak di Kampung Kuin di Machang kira-kira jam 3.15 pagi, di mana lima lelaki ditahan bersama tiga lori serta sebuah lori tangki yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kegiatan sama,” katanya selepas melawat lokasi rampasan diesel di Kampung Tebing Tinggi, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, semua lapan suspek yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan Machang untuk tindakan lanjut, manakala diesel dirampas diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *