Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Kelantan (MAIK) ikrar untuk kekal bebas rasuah

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sehingga kini berjaya mengekalkan imej bersih dengan bebas daripada sebarang gejala salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan dan petugas di bawah seliaan majlis itu termasuk imam-imam masjid.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kejayaan itu diperoleh hasil daripada amalan integriti yang tinggi diterapkan sekian lama ke dalam diri setiap kakitangan dan petugas di bawah seliaan majlis agama tersebut.

Katanya, mereka sebagai barisan kepimpinan dalam bidang agama terutama golongan imam masjid mendapat pengiktirafan sebagai ‘role model’ dalam kalangan masyarakat setempat.

“Dalam Islam sekali pun, hukumnya haram untuk mengambil atau memberi rasuah dan MAIK terapkan amalan integriti yang tinggi dalam kalangan kakitangan termasuk kepada imam-imam masjid yang mana di kampung-kampung mereka menjadi contoh diteladani.

“Usaha ini akan memberi keyakinan kepada umum bahawa MAIK sentiasa menekankan ketelusan dalam semua penugasan yang dilakukan,” katanya selepas merasmikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Pengurniaan Tauliah Pelantikan Pegawai Masjid Mukim Tahun 2022 di Kompleks Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Ketua Penolong Ketua Pesuruhjaya (KPKPj) Rosli Husain dan Timbalan Yang Dipertua Maik Zulkifle Ab Rahman.

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *