Kisah pengorbanan ‘Orang Muda’ dalam Islam

Peranan pemuda penting dalam sesebuah masyarakat atau agama. Kalau kita fikirkan-fikirkan, pemuda memainkan peranan yang penting dalam sejarah – salah satu sebabnya adalah mereka yang muda mempunyai tenaga dan keazaman yang tinggi berbanding masyarakat dalam kumpulan umur yang lain. Malangnya, ada stigma yang mengatakan golongan muda adalah kumpulan yang terlalu mentah untuk melakukan apa-apa. Lihat sahaja bagaimana pemuda-pemuda dilayan dalam organisasi atau parti politik; mereka selalunya melakukan hal-hal yang tidak penting.

Kali ini kami akan bawakan anda beberapa sejarah berkaitan pemuda Islam yang telah memberikan impak yang besar. Kami yakin ada sesetengah daripada cerita ini anda pernah dengar…

Beberapa kisah pemuda dalam Islam yang telah melakukan pengorbanan

Kalau anda masih ingat, dalam subjek agama Islam; kita pernah diperkenalkan dengan al-Arqam bin Abi al-Arqam yang masuk Islam pada usia 12 tahun dan telah menyediakan rumahnya sebagai tempat bagi Rasulullah dan para Sahabat berkumpul dan belajar? Sebenarnya ada ramai lagi yang telah menunjukkan keberanian pada usia muda seperti Ali bin Abi Thalib (8 tahun), Zubair bin al-Awwam (8 tahun), Thalhah bin Ubaidillah (11 tahun), Abdullah bin Mas’ud (14 tahun), Saad bin Abi Waqash (17 tahun).

Pemuda-pemuda ini terkenal dengan keberanian dan keteguhan disebalik cabaran yang mereka hadapi. Kelompok muda ini diherdik, dicela dan dihina oleh keluarga masing-masing; ada yang diusir dari rumah, dipenjara, dan diseksa. Namun, semangat dalam perjuangan mereka dalam berjuang sedikit pun tak goyah.

Abdullah bin Mas’ud (14 tahun) contohnya, seorang remaja miskin dan bertubuh kecil yang hanya bekerja sebagai penggembala kambing; dia adalah orang yang pertama (selepas Rasulullah) membaca al-Quran secara terang-terangan di hadapan Kaabah sehingga berdarah mukanya dipukul oleh kaum kafir Quraisy.

Mus’ab ibn Umair (24 tahun) pula, seorang pemuda Quraisy yang dicemburui seluruh penduduk Mekah kerana kekayaan dan status sosialnya, sering mengenakan pakaian yang mahal dan terbaik – telah meninggalkan kemewahan dunia. Mus’ab adalah duta pertama Rasulullah yang dihantar ke Madinah, untuk menyeru penduduk Madinah kepada Islam. Hasil usahanya, pembesar Madinah serta seluruh kaum mereka memeluk Islam, lalu Madinah menjadi tapak berdirinya Islam setelah kaum Aus dan Khazraj memberikan pertolongan kepada nabi.

Terdapat ramai juga srikandi generasi awal yang berperanan besar dalam perkembangan agama Islam. Asma’ Binti Abi Bakar sebagai contoh, merupakan individu yang membantu Rasulullah dan ayahnya ketika mereka berdua dalam perjalanan ke Madinah. Asma’ membawa makanan dan pembekal maklumat kepada Rasulullah ketika baginda dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Tsur.

Fatimah Binti al-Khattab, dengan beraninya mempertahankan keIslamannya di saat berhadapan dengan abangnya yang terkenal garang dan keras, Umar bin al-Khattab, yang masih belum menerima Islam ketika itu. Walaupun dipukul oleh Umar agar meninggalkan Islam, Fatimah tetap dengan keIslamannya dan akhirnya berjaya melembutkan hati abangnya itu, yang dari peristiwa inilah Umar kemudiannya memeluk Islam.

Kisah paling popular, Raja Namrud dan Nabi Ibrahim

Nabi Ibrahim lahir di kota Ur yang berada di wilayah Mesopotamia yang kini dikenal sebagai Iraq sekitar 2,295 SM. Pada masanya ada pemerintah mengaku sebagai Tuhan – pemerintah itu bernama Raja Namrud. Raja Namrud merupakan penguasa Babilonia yang berkuasa sehingga ramai yang mempercayai sebagai Tuhan.

Nak dijadikan cerita, Raja Namrud ada bermimpi tentang seorang anak yang dapat menghancurkan dan menggulingkannya. Dai pun ambil keputusan untuk membunuh seluruh bayi lelaki yang lahir. Ibu bapa Nabi Ibrahim dapat idea untuk menyembunyikan bayinya di dalam dalam gua.

Setelah dewasa, Nabi Ibrahim menghadapi Raja Namrud yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Sebelum itu, Nabi Ibrahim menghancurkan seluruh berhala yang ada di wilayah Raja Namrud.

Nabi Ibrahim tinggalkan satu berhala yang paling besar dan ia meletakkan kapak kepada berhala tersebut. Raja Namrud menyedari patung berhala telah rosak dan ia kemudian memanggil Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim kemudian menjawab dengan lantang bahawa berhala yang paling besar yang hancurkan semua berhala. Kemudian terjadi perdebatan yang membuat Raja Namrud memerintahkan pasukannya untuk menghukum Nabi Ibrahim dengan cara hukuman dibakar hidup-hidup.

Kemudian Nabi Ibrahim AS diikat dan ditempatkan pada tumpukkan kayu dan dibakar dengan api yang menyala tinggi. Namun Nabi Ibrahim tak terbakar sama sekali oleh api. Nabi Ibrahim pun keluar dari kobaran api tanpa luka sedikit pun. Kemudian mereka berpaling dari berhala dan menjadi umat Nabi Ibrahim.

Sebagai pemuda, anda memiliki peranan yang penting untuk negara

Apa yang kami cuba sampaikan adalah peranan pemuda amatlah penting; dan untuk mengisi peranan itu para pemuda haruslah memiliki keberanian untuk bertindak. Kalau kita lihat pada sejarah, kita dapati ramai pemuda Islam yang berani berhadapan dengan pemerintah yang zalim, walaupun tindakan seperti itu akan datang dengan risikonya yang tersendiri. Bagi orang muda yang tengah baca artikel ni, korang ada tanggungjawab yang besar untuk menjadikan negara ini lebih baik. Ambil langkah pertama dengan memastikan korang akan sentiasa cakna dan peduli dengan hal-hal yang sedang berlaku di sekitar anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *