Selain PAS, ini parti-parti politik ISLAM di Kelantan

Umum mengetahui bahawa penggunaan agama dan bangsa dalam politik merupakan hal yang selalu mendapat sambutan di negara ini. Negeri Kelantan adalah merupakan salah sebuah negeri yang turut menggunakan pendekatan yang sama dalam membina ideologi serta gagasan politik mereka sehinggalah ke hari ini. Tapi korang pernah tak terfikir macam mana sebenarnya kisah sejarah penggunaan agama dan bangsa dalam politik ini dimulakan di negeri Kelantan?

Kelantan pernah menyaksikan kelahiran parti ‘Islam’, selain PAS

Kalau korang nak tahu, negeri Kelantan merupakan negeri yang banyak melahirkan parti-parti berasaskan agama Islam. Nama parti seperti Barisan Jemaah Islamiah SeMalayaia (Berjasa) yang lahir tahun 1978 telah diasaskan oleh Dato’ Haji Muhammad Nasir setelah berlakunya krisis dalam Parti Pas di bawah pimpinan Dato’ Asri Haji Muda ketika itu. Parti Berjasa yang disokong oleh UMNO ketika itu telah berjaya mengalahkan Parti Pas di Kelantan dalam pilihan raya tahun 1978.

Tak lama selepas itu, berlakunya krisis kepimpinan dalam Pas antara Dato’ Asri Haji Muda dengan golongan muda dalam Pas yang membawa kepada keluarnya Dato’ Asri bersama pengikut setianya dan menubuhkan baharu iaitu Parti Hizbul Muslimin atau lebih dikenali sebagai Hamim.

Pertelingkahan di antara Ku Li dan Mahathir telah menyebabkan parti baru tertubuh

Selain daripada parti-parti yang kami sebutkan di atas, krisis pucuk pimpinan UMNO di antara Tun Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) telah menyebabkan terbatalnya pertubuhan Parti UMNO. Ku Li bersama pengikutnya telah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) sebagai kesinambungan kepada perjuangan asal UMNO yang telah ditubuhkan pada tahun 1946.

Parti Semangat 46 telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Kelantan.

Pada rundingan kerjasama di antara Parti Pas dan Parti Semangat 46, telah wujud satu golongan dalam Parti Pas yang tak bersetuju dengan penggabungan dan kerjasama antara Pas dan Semangat 46 telah bertindak keluar daripada parti Pas. Penentangan ini dicetuskan berikutan kerjasama yang dijalinkan antara Parti Semangat 46 dan Parti DAP. Golongan yang dipimpin oleh Haji Wan Ismail Wan Ahmad dan Ustaz Mohd. Nor Idris ini telah menubuhkan Parti Al-Islah untuk menyertai pilihanraya dengan tujuan membantu UMNO mengalahkan Parti Pas dalam pilihanraya.

Pertembungan tiga penjuru berlaku antara APU, Barisan Nasional dan Al-Islah di Kelantan

Pada masa itu, Parti Berjasa yang dipimpin oleh Dato’ Haji Wan Hashim Wan Ahmad telah bertindak sebagai juru kira dalam usaha untuk mempertemukan Parti Pas dan Parti Semangat 46. Usaha Parti Berjasa sebagai juru kira akhirnya telah berhasil mewujudkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dianggotai oleh empat parti iaitu Pas, Semangat 46, Berjasa dan Hamim.

Ketika itu, Parti Hamim dipimpin oleh Dato’ Sudin Wahab kerana Dato’ Asri telah menganggotai Parti UMNO setelah berlaku krisis dengan Dato’ Nik Man Nik Mohamad dalam soal pembubaran parti Hamim. Pertandingan tiga penjuru berlaku antara APU, Barisan Nasional dan Al-Islah di Kelantan tahun 1990. Parti Al-Islah telah kalah teruk di mana telah hilang wang pertaruhan di setiap kawasan yang ditandingi.

Pada pilihanraya tahun 1995, Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) telah lahir ekoran ada golongan tertentu dalam parti Pas tidak berpuas hati dengan kepimpinan Nik Aziz. Golongan yang diketuai oleh Haji Musa Salleh ini telah menubuhkan Parti Akim untuk menyertai pilihan raya pada tahun tersebut. Nasib Parti Akim seperti juga Parti Al-Islah yang kehilangan wang pertaruhan di setiap kawasan yang dipertandingkan.

Jangan terperangkap dengan parti-parti politik yang semata-mata menggunakan agama dan bangsa

Salah satu perkara penting yang kita harus akui, demografi di Kelantan memerlukan mana-mana ahli politik menggunakan elemen agama untuk berjaya. Mana-mana parti politik yang bercadang untuk memasuki Kelantan haruslah ‘menggunakan’ agama sebagai elemen asas untuk meraih pengundi. Seperti yang kami ceritakan di atas – perpecahan parti-parti politik di atas nama agama dan bangsa tetap berlaku. Sebab itu idea yang mengatakan kerajaan yang dipimpin oleh satu bangsa dan agama sahaja akan stabil adalah salah.

Politik adalah persoalan kekuasaan – sesiapa je yang berkuasa cenderung melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa. Masalah penggunaan agama dan bangsa ini berlaku apabila ada kritikan dilontarkan – ia dikatakan mengkritika agama/bangsa. Contohnya, jika kritik Pas, seseorang itu dikatakan mengkritik Islam. Tanggapan ini salah – Pas bukan agama Islam. Pas adalah parti politik, sama seperti parti-parti politik yang lain. Cumanya, Pas mendakwa mereka menggunakan Islam sebagai rujukan.

Untuk melahirkan sebuah kerajaan yang kuat, kita harus mempunyai keberanian untuk melontarkan kritikan yang membina. Sekiranya kita takde sikap kritikal kepada kerajaan, mereka selalunya akan lahirkan dasar-dasar yang menyusahkan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *