Singapura maju tanpa UMNO-BN adalah gurauan kurang cerdik – Pemuda UMNO Kelantan

PETALING JAYA: Kenyataan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa Singapura maju kerana tiada Umno disifatkan gurauan kurang cerdik, kata Pemuda Umno Kelantan.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor, berkata Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan perlu membuat pembetulan pernyataannya selepas PAS gagal mentadbir Kelantan selama lebih 30 tahun, selain meletakkan negeri itu mundur.Katanya, sindiran Amar itu satu pernyataan yang tiada asas, hanyalah modal retorik.

“Ceramah Amar untuk meraih undi sempena pilihan raya negeri (PRN) Johor itu, menampakkan beliau terdesak dengan meletakkan kesalahan kepada Umno kerana dia tahu populariti Perikatan Nasional (PN) sudah merosot di mata rakyat.

“Masalah bekalan air bersih, masalah peluang pekerjaan, kurang pelaburan, masalah dadah dan sebagainya menunjukkan PAS Kelantan gagal menangani masalah berkenaan sejak sekian lama,” katanya menurut laporan Awani.

Beliau berkata, umum sudah mengetahui kerajaan PAS Kelantan gagal membawa pembangunan dan peluang pekerjaan kepada anak muda dengan sentiasa menyalahkan kerajaan persekutuan.

Mengulas lanjut, Noor Hariri berkata, hala tuju PN pada PRN Johor juga samar kerana PN sehingga ke saat ini masih belum mengemukakan calon Menteri Besar mereka.

“Penyertaan PN di dalam PRN Johor ini bukanlah untuk memberi khidmat kepada rakyat akan tetapi hanya menjadi pengacau pertembungan di antara BN melawan Pakatan Harapan,” katanya.

Noor Hariri berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Amar seperti yang dilaporkan sebuah portal berita, hari ini.

Terdahulu, Amar mendakwa Singapura lebih maju daripada Malaysia kerana republik itu tidak diperintah oleh Umno dan sekutunya dalam Barisan Nasional (BN).

“Mana yang lebih maju antara Singapura dengan Malaysia? Tentulah yang lebih maju adalah Singapura. Saya meminta maaf untuk bertanya secara berterus-terang, Umno ada ke di Singapura?

“Ada BN ke di Singapura? Tiada. Ini bermakna, jika tiada Umno, ia menjadi lebih mudah untuk membangunkan negara. Sehinggakan setiap hari orang Malaysia menyeberangi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura,” kata Amar menurut laporan Harakahdaily.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *