Kelantan akui berlaku pembalakan haram di hutan simpan

Kerajaan negeri Kelantan mengakui berlaku pembalakan haram dan penerokaan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kegiatan itu bagaimanapun tidak begitu serius, berbanding di negeri lain.

“Pembalakan haram memang ada (di Kelantan), misalnya ada orang kampung hendak buat kebun, dia hendak tanam durian, kelapa sawit, jadi dia tebang hutan simpan.

“Dari segi undang-undang memang salah menceroboh hutan simpan dan kita tidak akan bertolak ansur bila ada kesalahan, kita akan ambil tindakan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, sindiket meneroka HSK secara haram dengan menanam kelapa sawit sebelum menjual tanah berkenaan pada harga rendah kepada orang ramai.

Itu antara taktik terbaru dilakukan sindiket pencerobohan HSK, yang dikesan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK).

Ketika ditanya dakwaan punca pembalakan haram yang menyebabkan harimau masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Mohd Amar berkata, tanggapan itu tidak betul.

“Harimau masuk kampung bukan kerana penebangan hutan. Kita ada baca kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan yang menyebut harimau masuk kampung sebab harimau kena penyakit.

“Keadaan ini menyebabkan harimau merayau dalam kampung kerana tidak boleh mencari makanan seperti biasa. Kalau kita hendak salahkan penebangan balak, itu tidak betul.

“Banjir sikit pun nak salahkan penebangan balak. Benda itu bukan begitu,” katanya sambil menambah Perhilitan kini sedang memburu dua harimau itu.

Mohd Amar menasihatkan Orang Asli di kawasan itu untuk tidak keluar rumah dan bantuan turut disalurkan kepada penduduk terbabit.

Setakat ini, katanya, tiada perancangan untuk memindahkan penduduk terbabit berikutan mereka lebih selesa di penempatan itu berbanding lokasi baru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *